Program Makanan Sedunia: Keperluan kemanusiaan di Gaza amat besar
Bernama
Februari 3, 2025 18:43 MYT
Februari 3, 2025 18:43 MYT
ROM: Program Makanan Sedunia (WFP) menegaskan bahawa keperluan kemanusiaan di Semenanjung Gaza amat besar, di tengah-tengah kepulangan rakyat Palestin yang dipindahkan ke kawasan utara selepas kira-kira 15 bulan perang Israel, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
WFP dalam hantaran di platform X pada Ahad menekankan bahawa sebarang harapan untuk pemulihan Gaza memerlukan respons kemanusiaan menyeluruh dengan kerjasama semua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Dengan kepulangan rakyat Palestin yang dipindahkan ke utara Gaza, pasukan kami sedang berusaha untuk menambah lebih banyak pusat pengagihan bagi membekalkan makanan yang amat diperlukan," menurut WFP.
Badan PBB itu turut menerbitkan klip video menunjukkan ratusan penduduk Palestin terpaksa berpindah dengan berjalan kaki menuju ke utara Gaza di celah-celah bangunan yang musnah.
-- BERNAMA