Program loteri visa, 'migrasi berantai' akan ditamatkan - Trump
Agensi
Disember 12, 2017 07:47 MYT
Disember 12, 2017 07:47 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bakal menamatkan program loteri visa selepas kejadian letupan di stesen keretapi bawah tanah New York pada Isnin.
Selain itu, program migrasi yang memberi keutamaan kepada keluarga warga asing yang menetap di negara Uncle Sam itu, atau digelar 'migrasi berantai', juga akan dimansuhkan.
Kedua-dua dasar itu dipersalahkan pentadbiran Trump sebagai punca dua insiden serangan di New York baru-baru ini.
"Setakat ini, terdapat dua serangan pengganas di New York dalam beberapa minggu kebelakangan ini, melibatkan warga asing yang menetap di sini menggunakan kad hijau.
"Penyerang pertama memasuki negara melalui program loteri visa dan penyerang kedua melalui hubungan keluarganya dengan seorang warganegara Amerika.
"Kami akan menamatkan kedua-dua program ini. Sistem loteri visa dan penghijrahan rantaian akan ditamatkan segera," katanya di White House.
Pentadbiran Trump sebelum ini telah berulang kali mendesak agar sistem migrasi menerusi hubungan kekeluargaan atau 'migrasi berantai' dimansuhkan, bertujuan mengurangkan kemasukan migran ke AS.