Pro-junta PPRP tawar jemputan rasmi, parti Thai belum buat keputusan
Bernama
Mei 27, 2019 07:00 MYT
Mei 27, 2019 07:00 MYT
Parti pro-junta Palang Pracharat (PPRP) pada Isnin menawarkan jemputan rasmi kepada Demokrat dan Bhumjaithai untuk menyertai gabungannya, tetapi kedua-dua parti politik itu masih belum membuat sebarang keputusan selepas berjam-jam mesyuarat.
Demokrat yang memenangi 52 kerusi dan Bhumjaithai (51) daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum ke-24 Mac lepas telah membuatkan kerajaan Thai yang baharu itu, masih menanti.
Kedua-dua pembuat keputusan dalam membentuk kerajaan baharu itu terus membisu berhubung pendirian mereka untuk menyertai mana-mana pakatan - PPRP atau Democratic Front diketuai Parti Phue Thai.
Pada Isnin, ketua PPRP Uttama Savanayana mengetuai beberapa pemimpin utama parti gabungannya, bertemu pemimpin kedua-dua parti itu, berharap untuk mendapatkan sokongan mereka untuk majoriti mudah di Dewan Perwakilan.
Uttama bertemu Setiausaha Agung Demokrat Chalermchai Sri-on dan anggota eksekutifnya di ibu pejabat parti itu di Samsen, Bangkok, kira-kira dua jam.
Apabila ditemui media di sini, Chalermchai berkata parti itu memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan, termasuk mengambil kira pandangan dan idea anggota dan penyokong parti.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akan dibuat sebelum undian memilih perdana menteri.
"Hari ini, kami membincangkan prinsip jika kami bekerjasama (dalam membentuk kerajaan gabungan)," katanya.
Pada sebelah petang, Uttama bertemu pemimpin parti Bhumjaithai Anutin Charnvirakul dan Setiausaha Agung Saksiam Chidchob di ibu pejabat parti itu. Anutine kekal membisu selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit.
Pada sidang media bersama, Anutin mengakui PPRP adalah 'kerajaan yang stabil' yang merupakan antara empat syarat yang ditetapkan Bhumjaithai untuk parti itu menyertai mana-mana gabungan.
"Kami akan menyertai sebuah kerajaan yang stabil yang bekerja demi rakyat," katanya.
Sementara itu, Uttama berkata pertemuan semalam berjalan lancar dan positif.
"Parti gabungan akan mengadakan sidang media rasmi menyertai gabungan itu," katanya. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan tarikh sebenar.
Pada masa ini terdapat tiga parti - Demokrat, Bhumjaithai dan Chart Pattana (tiga kerusi) yang masih belum membuat keptuusan untuk menyertai gabungan itu. Bagaimanapun, jika ketiga-tiga parti itu menyertai PPRP yang menyokong Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha, gabungan itu akan mendapat majoriti tipis 253 kerusi.
Democratic Front diketuai Parti Pheu Thai, yang dikaitkan dengan Perdana Menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra dan sekutunya, meraih 245 kerusi.
Keputusan rasmi dua lagi kerusi, masih tergantung, yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya bila tiba masanya.
-- BERNAMA
#Bangkok
#Bhumjaithai
#Demokrat
#Dewan Rakyat
#gabungan
#jemputan rasmi
#kerajaan
#kerajaan baharu
#pakatan
#Palang Pracharat
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#politik
#PPRP
#pro-junta
#Thaksin Shinawatra
#Uttama Savanayana