Prestasi ekonomi China lepasi jangkaan
Bernama
April 19, 2023 22:27 MYT
April 19, 2023 22:27 MYT
BEIJING: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencecah RMB28.49 trilion (kira-kira RM18.36 trilion) pada suku pertama 2023, menokok 4.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Biro Statistik Negara (NBS).
Memetik laporan 'The Wall Street Journal', pemulihan ekonomi China akan merangsang ekonomi global tatkala pertumbuhan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini menjadi perlahan.
Prestasi ekonomi China itu hasil daripada pelaksanaan siri pendekatan di seluruh negara termasuk dasar fiskal yang efektif dan dasar monetari bersasar serta langkah-langkah bagi memantapkan pertumbuhan, pasaran pekerjaan dan menstabilkan harga barangan.
Menurut statistik, jualan runcit barangan pengguna naik 5.8 peratus pada suku pertama tahun ini, sekali gus menyaksikan perbelanjaan menyumbang sebanyak 66.6 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi pelaburan sektor pembuatan, peningkatan berlaku pada kadar tujuh peratus dengan pelaburan dalam pembuatan berteknologi tinggi naik 15.2 peratus.
Pada masa sama, output automobil tenaga alternatif dan bateri tenaga suria masing-masing meningkat 22.5 peratus dan 53.2 peratus.
Ia turut memperlihatkan trend transformasi dan penaiktarafan ekonomi yang mampan dengan didukung momentum baharu.
Usaha konsisten China dalam memacu keterbukaan bertaraf tinggi juga menyuntik kedinamikan kepada aktiviti ekonomi.
Siri acara termasuk Forum Pembangunan China (CDF), Forum Asia Boao (BFA), Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) dan Pameran Import dan Eksport China atau 'Canton Fair' turut merapatkan lagi hubungan antara China dengan dunia.
Untuk tempoh sama, nilai import dan eksport perdagangan barangan China merekodkan RMB9.89 trilion (kira-kira RM6.37 trilion), menokok sebanyak 4.8 peratus.
Prestasi itu juga dianggap menyumbang kepada kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global.
-- BERNAMA