Presiden Zelenskyy tolak rundingan damai dengan Rusia

Bernama
November 5, 2023 12:30 MYT
Zelenskyy menafikan laporan bahawa negara-negara Barat mendesaknya untuk memulakan rundingan dengan Rusia. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Sabtu menolak sebarang rundingan damai dengan Rusia, lapor Agensi Anadolu.
"Tiada dan tidak akan berlaku perkara sedemikian," kata Zelenskyy dalam sidang media di Kyiv selepas mesyuarat dengan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah Ursula von der Leyen.
Zelenskyy menafikan laporan bahawa negara-negara Barat mendesaknya untuk memulakan rundingan dengan Rusia.
"Tiada siapa yang mendesak saya sekarang ini. Semua itu berlaku pada awal peperangan dan sebelum peperangan yang bermula pada Februari 2022," katanya.
Mengulas mengenai temubual dengan Ketua Komander Ukraine, Valerii Zaluzhnyi yang menganggap situasi di barisan hadapan sebagai "buntu," Zelenskyy berkata Kyiv telah berdepan keadaan yang jauh lebih sukar terutamanya pada awal konflik.
Masalah utama pada masa ini adalah penguasaan ruang udara oleh Rusia, dan penyelesaiannya adalah perolehan pesawat pejuang F-16, katanya.
"Sudah ada keputusan (mengenai penghantaran F-16). Ia menunggu latihan juruterbang Ukraine," katanya.
Zelenskyy juga mengakui konflik di Asia Barat telah mengalihkan perhatian dari Ukraine, seperti "dapat dilihat daripada hasil" perbincangan dengan pegawai EU dan beliau berharap konflik itu akan berakhir tidak lama lagi.
-- BERNAMA
#Presiden Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Rusia #rundingan damai
;