Presiden Yoon tolak peletakan jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera

Bernama
Disember 5, 2024 19:35 MYT
Jeneral Park An-su telah kemuka surat peletakan jawatannya kepada bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, namun Presiden Yoon Suk Yeol (gambar) menolak tawarannya. - Reuters
SEOUL: Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan Jeneral Park An-su pada Khamis berkata beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun berhubung pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol, namun presiden menolak tawarannya.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Park telah dinamakan untuk mengetuai pemerintahan tentera yang bersifat sementara susulan pengisytiharan secara mengejut Yoon pada Selasa malam sebelum Presiden menarik balik keputusan itu beberapa jam kemudian apabila Parlimen yang dikuasai oleh pihak pembangkang mengundi untuk menolaknya.
Park mendedahkan perkara itu semasa sesi tergempar jawatankuasa pertahanan parlimen, dengan menyatakan bahawa beliau menawarkan untuk meletakkan jawatan pada hari sebelumnya.
Namun, Yoon menolak tawaran peletakan jawatan Park dengan alasan situasi keselamatan, menurut pejabat presiden.
"Yoon menekankan keperluan untuk operasi ketenteraan yang stabil berikutan situasi keselamatan yang serius dan menggesa Ketua Turus Angkatan Tentera untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya," kata seorang pegawai kanan presiden.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Ketua Turus Angkatan Tentera #letak jawatan #Presiden Yoon Suk Yeol #tolak tawaran
;