Presiden Xi seru dunia bina tamadun multipolar

Bernama
Mei 25, 2023 17:03 MYT
Kata Xi, sebagai ahli keluarga Euroasia, pembangunan China tidak boleh dipisahkan daripada rantau ini, dan pada masa sama ia juga akan memberi limpahan manfaat kepada negara-negara serantau. -Gambar fail/Reuters
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, berkata dunia kini mengalami perubahan besar yang belum pernah berlaku dalam seabad, manakala trend sejarah multipolarisasi dan globalisasi ekonomi pula tidak dapat dihalang.
Beliau berkata mematuhi multilateralisme yang sebenar di samping mendorong pembangunan serantau yang terselaras adalah konsensus bersama masyarakat antarabangsa.
Xi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sesi pleno Forum Ekonomi Eurasia kedua Kesatuan Ekonomi Eurasia menerusi video pada Rabu.
Jelas beliau, pendirian China terhadap persoalan zaman dan sejarah itu adalah jelas.
"Saya telah mengemukakan Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, dan Inisiatif Peradaban Global, menyeru semua negara agar bersama-sama membina dunia yang terbuka, inklusif, bersih dan indah dengan keamanan berkekalan, keselamatan sejagat, dan kemakmuran bersama, serta menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata Xi.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dikemukakan beliau.
Matlamat BRI adalah untuk meneroka pendekatan baharu agar semua negara dapat mencapai pembangunan bersama, serterusnya membina "jalan menuju ke kesejahteraan" yang memberi manfaat kepada semua negara di dunia.
Tambah Xi, sebagai ahli keluarga Euroasia, pembangunan China tidak boleh dipisahkan daripada rantau ini, dan pada masa sama ia juga akan memberi limpahan manfaat kepada negara-negara serantau.
"Pada separuh kedua tahun ini, China akan mengadakan Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga.
"China bersedia bekerjasama dengan pengasas bersama BRI dan negara anggota Kesatuan Ekonomi Eurasia untuk terus menjunjung tinggi semangat kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi sama menang, berkongsi peluang, bersama-sama mengatasi kesukaran, supaya mencipta masa depan lebih baik dan menulis bab baharu kemajuan peradaban dalam dunia multipolar," kata beliau.
Forum Ekonomi Eurasia kali ini bertemakan Integrasi Eurasia dalam Dunia Multipolar, diadakan di Moscow, Rusia secara hibrid.
-- BERNAMA
#China #Xi Jinping #limpahan manfaat #masa depan
;