Presiden Xi mahu Shanghai muncul sebagai metropolis antarabangsa
Bernama
Disember 4, 2023 21:08 MYT
Disember 4, 2023 21:08 MYT
BEIJING: Presiden China Xi Jinping mahu Shanghai mempercepat pembinaan bandar itu sebagai metropolis antarabangsa yang moden dengan memfokuskan kepada pembinaannya sebagai pusat ekonomi, kewangan, perdagangan, perkapalan serta inovasi sains dan teknologi di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Shanghai baru-baru ini.
Xi mahu Shanghai memperkasakan pembinaan bandar itu menjadi metropolis yang berpengaruh di arena antarabangsa, di samping memainkan peranan sebagai peneraju dan teladan dalam pembinaan modenisasi ala China.
"Misi untuk menjadikan Shanghai sebagai pusat ekonomi, kewangan, perdagangan, perkapalan serta inovasi sains dan teknologi antarabangsa amat penting.
"Oleh itu, Shanghai dikehendaki berpegang teguh pada misi itu, menyelaraskan kerja dalam pelbagai sektor dalam pembangunan sosioekonomi, membuat perancangan dan melaksanakannya secara kolaboratif dan meningkatkan daya saing teras bandar itu," katanya.
Pada masa sama, Xi berkata Shanghai perlu terus meningkatkan kedudukannya sebagai pusat ekonomi antarabangsa dan pengaruhnya dalam tadbir urus ekonomi global serta meningkatkan penyelidikan dalam teknologi.
Beliau berkata Shanghai juga perlu mendorong transformasi dan penaiktarafan industri tradisional, mempercepat pembinaan kluster industri bertaraf dunia serta sistem industri moden.
"Shanghai perlu memperkasakan pembinaan institusi kewangan moden dan prasarana kewangan, melaksanakan keterbukaan kewangan bertaraf tinggi, supaya berkhidmat dengan lebih baik kepada ekonomi sebenar, inovasi sains dan teknologi serta pembinaan Jalur dan Laluan," katanya.
Beliau berkata Shanghai juga perlu memperkasakan strategi zon rintis perdagangan bebas, mendorong penaiktarafan pusat perdagangan antarabangsa selain memajukan sektor-sektor yang lemah seperti perkhidmatan perkapalan dan meningkatkan keupayaan mengagihkan sumber perkapalan sejagat.
Xi juga menegaskan pentingnya pemupukan tenaga profesional bertaraf tinggi dan iklim inovasi yang baik di samping meningkatkan tindakan koordinasi di Delta Sungai Yangtze untuk menjadikan kawasan itu sebagai teladan dalam pembangunan seluruh negara.
-- BERNAMA