Presiden Xi mahu China perkasa pembinaan komuniti berkongsi nasib menerusi ruang siber
Bernama
November 8, 2023 05:45 MYT
November 8, 2023 05:45 MYT
BEIJING: Pelbagai pihak perlu memperdalam pertukaran dan kerjasama praktikal bagi memacu dan memperluas pembinaan komuniti berkongsi nasib menerusi ruang siber ke arah mencapai tahap baharu, kata Presiden China Xi Jinping.
"Internet bukan sahaja berperanan sebagai penggerak memacu pembangunan malah turut berfungsi sebagai sektor untuk mengekalkan keselamatan dan platform baharu bagi mencari inspirasi daripada tamadun pelbagai negara.
"Pembinaan komuniti berkongsi nasib menerusi ruang siber bukan sahaja pilihan wajar untuk mengatasi masalah sezaman tetapi juga menjadi platform untuk mengetengahkan suara bersama masyarakat antarabangsa," kata Xi pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia (WIC) 2023 melalui pautan video pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berkata China mencadangkan agar pelbagai pihak mengutamakan pembangunan dan membina ruang siber yang lebih inklusif, universal dan makmur.
"Pelbagai pihak dicadangkan memperdalam pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam bidang digital dan mempercepat aplikasi hasil penyelidikan saintifik.
"Semua pihak juga disyorkan untuk mempopularkan perkhidmatan maklumat, mengecilkan jurang digital, menjamin dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam proses pembangunan Internet, sekali gus memastikan hasil pembangunan Internet dikongsi bersama rakyat di lebih banyak negara," kata Xi.
Menyentuh mengenai isu pembinaan ruang siber yang lebih damai dan selamat, Presiden Xi mengusulkan agar semua pihak menghormati kedaulatan dalam bidang siber, pembangunan Internet dan model tadbir urus setiap negara.
"Pelbagai pihak dicadangkan mematuhi peraturan ruangan siber antarabangsa, selain mengelakkan amalan hegemoni, konfrontasi blok dan perlumbaan senjata di ruang siber.
"Selain itu, memperdalam kerjasama praktikal dalam bidang keselamatan siber, membanteras kegiatan haram dan jenayah siber dan meningkatkan keselamatan data dan perlindungan maklumat peribadi.
"China bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk melaksanakan Inisiatif Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) Global dan menggalakkan pembangunan AI yang selamat," kata beliau.
Presiden Xi juga mencadangkan pembinaan ruang siber yang lebih saksama dan inklusif.
"Semua pihak perlu mengintensifkan pertukaran dan dialog secara dalam talian, menggalakkan persefahaman sesama rakyat di pelbagai negara serta tamadun yang berbeza wujud bersama secara inklusif bagi mengamalkan nilai universal umat manusia.
Beliau turut mencadangkan usaha memperkasa pembinaan tamadun siber dilaksanakan selain menggalakkan pengeluaran dan penyebaran produk budaya siber yang berkualiti tinggi.
"Usaha juga perlu dilakukan bagi memaparkan hasil tamadun manusia yang cemerlang, bersama-sama mewariskan dan membangunkan tamadun untuk membina dunia kerohanian secara dalam talian.
Presiden Xi berkata ruang siber berperanan membawa visi manusia untuk masa depan yang lebih indah.
"Marilah kita berganding bahu untuk membina komuniti berkongsi nasib menerusi ruang siber agar Internet dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh dunia dan mewujudkan masa depan yang lebih indah untuk manusia," kata Xi.
Sidang kemuncak Wuzhen WIC 2023 akan berlangsung di Wuzhen, provinsi Zhejiang China dari 8 hingga 10 November, bertemakan "Membina Dunia Digital yang Inklusif dan Berdaya Tahan demi Manfaat Umum, Bekerjasama untuk Membina Komuniti Berkongsi Nasib Ruang Siber".
-- BERNAMA