Presiden Xi Jinping adakan lawatan ke Jiangxi

Bernama
Oktober 16, 2023 00:32 MYT
Xi berkata usaha perlu ditumpukan untuk menguasai teknologi tercanggih dalam bidang-bidang baharu. - Gambar fail/Yoan Valat/Pool via REUTERS
BEJING: Presiden Xi Jinping berkata keutamaan ekologi perlu ditekankan dalam pembangunan Jalur Ekonomi Sungai Yangtze.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi libat urus semasa mengadakan lawatan ke provinsi Jiangxi pada 10 hingga 13 Oktober.
Sesi libat urus itu bertujuan untuk menetapkan gerak kerja menggalakkan pembangunan Jalur Ekonomi Sungai Yangtze ke arah lebih bermutu tinggi yang dilihat kondusif bagi modenisasi ala China.
"Hala tuju pembangunan jalur ekonomi itu untuk ke arah bermutu tinggi bergantung kepada alam sekitar yang terpelihara di daerah aliran sungai berkenaan.
"Maka, yang sepatutnya dilaksanakan secara-besar-besaran bukanlah penerokaan industri, sebaliknya perlindungan ekologi yang berpusatkan transformasi dan menaik taraf industri ke arah yang mesra alam.
"Kita hendaklah mempercepat langkah dalam memupuk industri hijau dan karbon rendah, membangunkan teknologi dan produk hijau, menambah elemen hijau dalam pembangunan ekonomi, di samping meneroka potensi dan memberi momentum baharu dalam pembangunan berkaitan," kata beliau.
Xi berkata usaha perlu ditumpukan untuk menguasai teknologi tercanggih dalam bidang-bidang baharu, meningkat daya saingan teras dalam industri pembuatan dan mempercepat industri strategik yang baharu.
Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan terhadap industri yang berpotensi besar, memperluas dominasi rantaian industri dan mewujudkan rantaian industri dalam sektor baharu.
Meninjau projek pewarisan dan pembangunan kebudayaan tradisional, serta projek mega dalam bidang kebudayaan merupakan komponen utama dalam atur cara lawatan Xi di Jiangxi.
Budaya yang terdapat di kawasan Sungai Yangtze turut menjadi satu daripada tumpuan Presiden Xi.
Beliau berpendapat, pembangunan Jalur Ekonomi Sungai Yangtze wajar dilaksanakan tanpa mengabaikan perlindungan dan pewarisan budaya di sungai itu.
-- BERNAMA
#China #Xi Jinping #kebudayaan tradisional #projek mega
;