Presiden AS umum pendirian terhadap Arab Saudi pada Isnin
Astro Awani
Februari 27, 2021 05:37 MYT
Februari 27, 2021 05:37 MYT
WASHINGTON DC: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan membuat pengumuman berhubung dasar luar negara itu dengan Arab Saudi pada Isnin ini.
Ia susulan pendedahan laporan risikannya yang mengaitkan putera mahkota negara itu dengan pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi.
“Akan ada pengumuman penting Isnin ini berhubung apa tindakan yang akan kami ambil ke atas Arab Saudi,” katanya.
Ini kali pertama AS mengaitkan Putera Mohammed Salman dengan kes pembunuhan Khashoggi.
Pemerhati berpendapat pendedahan ini akan membawa implikasi kepada hubungan AS dengan sekutu rapatnya di Asia Barat itu.
Berdasarkan laporan risikan itu, Putera Mohammed Salman dipercayai meluluskan rancangan untuk menangkap atau membunuh Khashoggi yang hidup dalam buangan di AS.
Laporan berkenaan menyenaraikan beberapa sebab mengapa AS percaya pembunuhan itu mendapat lampu hijau putera mahkota.
Pertama, putera berkenaan mengawal hal membuat keputusan di Arab Saudi sejak 2017.
Kedua, penglibatan langsung penasihat, serta anggota pelindungnya.
Khashoggi dibunuh ketika berada di dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Turki.
Mayatnya yang dipercayai dikerat dan dibuang tidak ditemui sehingga kini.
Mahkamah di Arab Saudi sebelum ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas lima individu yang didakwa bertanggungjawab atas pembunuhan Khashoggi.
Putera Mohammad bagaimanapun menafikan terlibat mengarahkan pembunuhan itu.
#AS
#Arab Saudi
#Joe Biden
#Jamal Khashoggi
#Putera Mohammed Salman
#dasar luar negara
#kolumnis Washington Post