Presiden Ukraine tubuh perwakilan untuk berunding dengan Rusia

Bernama
April 5, 2022 05:30 MYT
Dekri ditandatangani Zelenskyy (gambar) itu "untuk membentuk delegasi Ukraine ke rundingan dengan Persekutuan Rusia bagi penyediaan dan kelulusan draf perjanjian mengenai jaminan keselamatan Ukraine." (Foto AP)
KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menandatangani dekri mengenai pembentukan perwakilan rasmi untuk mengadakan rundingan dengan Rusia.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden, dekri ditandatangani pada Isnin itu "untuk membentuk delegasi Ukraine ke rundingan dengan Persekutuan Rusia bagi penyediaan dan kelulusan draf perjanjian mengenai jaminan keselamatan Ukraine."
Agensi Anadolu melaporkan ketua kumpulan parlimen David Arakhamia dilantik sebagai ketua delegasi itu.
Beliau sebelum ini pernah mengetuai rundingan damai di Istanbul minggu lalu.
Kali terakhir delegasi Ukraine dan Rusia mengadakan pertemuan secara bersemuka adalah di Istanbul pada 29 Mac.
Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1,430 orang awam terbunuh manakala lebih 2,000 orang cedera di Ukraine sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine pada 24 Feb.
Lebih 4.21 juta rakyat Ukraine juga dilaporkan melarikan diri ke negara lain.
-- BERNAMA
#delegasi rundingan #Volodymyr Zelenskyy #dekri perwakilan rasmi #krisis Rusia-Ukraine
;