Presiden Ukraine senarai tuntutan sebelum bertemu Rusia

Bernama
Mac 17, 2022 14:03 MYT
Krisis Rusia-Ukraine bermula pada 24 Feb mendapat kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global menghentikan operasi di Rusia. - Gambar fail
ANKARA: Presiden Ukraine pada Rabu mengulangi kenyataan bahawa jaminan kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine adalah penting, susulan rundingan damai yang sedang berlangsung dengan Rusia, lapor Agensi Anadolu.
"Keutamaan saya dalam rundingan ini amat jelas: menamatkan perang, jaminan terhadap keselamatan, kedaulatan, pemulihan integriti di wilayah, serta jaminan perlindungan terhadap negara kita," kata Volodymyr Zelenskyy menerusi video yang dikeluarkan Pejabat Presiden.
Zelenskyy juga menyeru askar Rusia meletakkan senjata.
"Letakkan senjata kamu. Ia lebih baik daripada mati di medan perang, di bumi Ukraine," katanya.
Menurut Presiden Ukraine itu Rusia terus menerus melakukan jenayah perang di negaranya, sambil berkata: "Ekonomi Rusia masih mampu menyokong operasi ketenteraan."
Zelenskyy turut menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan baharu terhadap Rusia dan memberi sokongan kepada Ukraine agar operasi ketenteraan Rusia dapat dihentikan.
Krisis Rusia-Ukraine bermula pada 24 Feb mendapat kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global menghentikan operasi di Rusia. - BERNAMA
#Krisis Rusia - Ukraine #Volodymyr Zelenskyy #Vladimir Putin #rundingan damai
;