Presiden Ukraine sahkan Bakhmut tewas di tangan Rusia
Agensi
Mei 21, 2023 17:16 MYT
Mei 21, 2023 17:16 MYT
KIEV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengesahkan bandar Bakhmut tewas di tangan askar Rusia namun memaklumkan "tiada apa yang tinggal" di bandar itu.
Memetik AFP, ketika ditanya sama ada Ukraine masih berkuasa di bandar itu atau telah ditakluk Rusia, Zelensky tidak memberi jawapan jelas.
“Anda perlu faham bahawa tiada apa di sana. Pada hari ini, Bakhmut hanya ada di hati kami,” kata beliau.
Terdahulu, angkatan tentera Rusia mengumumkan bahawa mereka telah menakluk bandar Bakhmut yang menjadi medan pertempuran paling sengit dalam peperangan berkenaan.
Kehilangan Bakhmut akan menjadi sangat simbolik bagi rakyat Ukraine yang bertahan di wilayah itu selama beberapa bulan.
Zelensky yang duduk bersebelahan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dalam satu pertemuan di sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Hiroshima, Jepun dilihat berdepan kesukaran memberikan jawapan panjang dan penuh emosi.
Dalam masa sama, beliau berpendapat kemenangan Rusia hanya kemenangan kosong memandangkan tiada apa yang tinggal di bandar itu selain runtuhan dan jasad tentera Rusia yang mati.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menghargai serta memuji kerja hebat yang ditunjukkan oleh askar Ukraine.
Dalam pertemuan tersebut, Biden mengumumkan pakej senjata baharu untuk Ukraine dan serangan balas besar-besaran dijangka bermula untuk mengusir pihak Rusia.