Presiden Ukraine, Ketua NATO bincang kerjasama, pulih hubungan
Bernama
September 29, 2023 12:31 MYT
September 29, 2023 12:31 MYT
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertemu dengan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, untuk membincangkan kerjasama dan memulihkan hubungan antara Ukraine dan perikatan itu pada Khamis, lapor Xinhua.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu pertahanan, termasuk situasi di medan perang di Ukraine dan keperluan tentera Ukraine, lapor perkhidmatan media presiden.
Melindungi infrastruktur tenaga Ukraine daripada kemungkinan serangan dan prospek membekalkan sistem pertahanan udara tambahan ke Ukraine oleh negara anggota NATO adalah satu lagi topik dalam pertemuan itu.
Bercakap kepada pemberita, Zelensky menyifatkan, rundingan itu sebagai "perbincangan bermakna antara sekutu de facto".
"Ia hanya masalah masa sebelum Ukraine menjadi ahli de jure perikatan itu. Kami sedang melakukan segala yang mungkin untuk memastikan ia berlaku lebih awal."
Sementara itu, Stoltenberg berjanji sokongan NATO kepada Ukraine akan diteruskan.
"NATO akan bersama Ukraine selama mana yang diperlukan," katanya.
Menurut laporan media, Stoltenberg tiba lebih awal di Kyiv untuk lawatan yang tidak diumumkan itu. - BERNAMA