Presiden Turkiye kecam serangan Turkish Aerospace Industries

ASEANPLUS
Oktober 23, 2024 07:15 MYT
Erdogan menegaskan, serangan ke atas TAI "mensasarkan kelangsungan negara kita." - Foto REUTERS
KAZAN: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam serangan ke atas ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TIA) dengan berkata: "Kita kehilangan empat syahid dan 14 orang cedera. Saya mengutuk serangan keganasan yang keji ini dan berdoa agar para syahid mendapat rahmat daripada Tuhan."
Beliau berkata demikian di Rusia sempena kunjungan beliau bagi menghadiri sidang kemuncak BRICS yang dianjurkan oleh Presiden Vladimir Putin.
Erdogan berangkat ke bandar Kazan di Rusia lebih awal hari ini untuk menghadiri sidang kemuncak yang terdiri daripada anggota negara ekonomi yang sedang meningkat seperti India dan China.
Bercakap di acara tersebut, Putin mengecam serangan ke atas syarikat penerbangan berhampiran Ankara dan menyampaikan "ucapan takziah," menurut agensi berita Reuters.
Mengulas lanjut, Erdogan menegaskan, serangan ke atas TAI "mensasarkan kelangsungan negara kita."
Dalam kenyataan yang dikongsi di X, Erdogan berkata, pasukan keselamatan bertindak pantas untuk mententeramkan ancaman tersebut.
"Tiada organisasi pengganas, tiada fokus kejahatan yang mensasarkan keselamatan kita akan dapat mencapai matlamat mereka," katanya.
Dalam masa sama, Presiden Erdogan menitipkan doa dan ucapan selamat kepada pekerja-pekerja TAI yang disifatkan beliau sebagai "sumber kebanggaan industri pertahanan kita",
#Turkish Aerospace Industries #pengganas #firma pertahanan #Recep Tayyip Erdogan
;