Presiden Turkiye Erdogan disambut dengan istiadat rasmi oleh Presiden Indonesia
Bernama
Februari 12, 2025 15:45 MYT
Februari 12, 2025 15:45 MYT
Presiden Indonesia, Prabowo dan Presiden Turkiye, Erdogan ketika lintas hormat di Istana Presiden Bogor. - Foto Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana
BOGOR/ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan disambut dengan istiadat rasmi oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Bogor pada Rabu sempena lawatan rasminya ke negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam persinggahan kedua bagi rangka lawatan tiga negaranya di Asia, kenderaan rasmi Erdogan diiringi oleh pasukan berkuda ketika memasuki Istana Presiden Bogor sebelum beliau disambut oleh Subianto di pintu masuk bangunan.
Erdogan menandatangani buku pelawat di istana sebelum mengadakan pertemuan dengan Subianto.
Kedua-dua pemimpin akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi antara kedua-dua negara sebelum menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan sidang media bersama.
Presiden Turkiye itu turut dijadual menghadiri majlis makan malam serta mengambil bahagian dalam forum perniagaan Turkiye-Indonesia.
Delegasi presiden Turkiye turut disertai Wanita Pertama Emine Erdogan, Menteri Luar Hakan Fidan, Menteri Pertahanan Yasar Guler dan Menteri Tenaga Alparslan Bayraktar.
Erdogan memulakan lawatan empat harinya merangkumi Malaysia, Indonesia dan Pakistan pada Ahad.
-- BERNAMA
#Recep Tayyip Erdogan
#Presiden Indonesia Prabowo Subianto
#Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi
#Turkiye-Indonesia