Presiden Tunisia isytihar darurat susulan serangan bom ragut 12 nyawa

Agensi
November 24, 2015 23:51 MYT
Serangan bom ke atas sebuah bas yang sedang membawa pengawal presiden yang meragut 12 nyawa. - Foto AFP
Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi hari ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara itu selain perintah berkurung di ibu negara, Tunis.
Ia susulan serangan bom ke atas sebuah bas yang sedang membawa pengawal presiden yang meragut 12 nyawa.
Pengumuman itu dibuat Essebsi menerusi satu siaran televisyen.
Essebsi pada masa sama turut menggesa kerjasama masyarakat antarabangsa bersama-sama rakyat negara itu melancarkan "perang menentang keganasan ".
Kejadian terbaru ini berlaku 10 hari selepas pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan di Tunis selepas industri pelancongan negara itu terjejas teruk berikutan serangan pelampau baru-baru ini.
Jun lalu sebuah hotel mewah tepi pantai di Sousse diserang menyebabkan 38 orang terbunuh.
Manakala pada Mac, 21 pelancong maut dalam serangan di Muzium Bardo di Tunis.
#Beji Caid Essebsi #bom #darurat #tunis #Tunisia