Presiden Syria tubuh Majlis Keselamatan Negara
Bernama
Mac 13, 2025 15:42 MYT
Mac 13, 2025 15:42 MYT
Majlis itu akan dipengerusikan oleh Al-Sharaa (gambar) dan dianggotai oleh menteri luar negeri, menteri pertahanan dan dalam negeri, serta pengarah perisikan am. - Gambar/ Reuters
DAMSYIK/ISTANBUL: Presiden Syria Ahmed al-Sharaa mengeluarkan dekri pada Rabu bagi penubuhan Majlis Keselamatan Negara untuk menyelaras dan mengurus dasar keselamatan serta politik negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan pejabat Presiden Syria, majlis itu akan dipengerusikan oleh Al-Sharaa dan dianggotai oleh menteri luar negeri, menteri pertahanan dan dalam negeri, serta pengarah perisikan am.
Selain itu, beberapa jawatan penasihat dan teknikal akan dilantik oleh presiden berdasarkan kelayakan dan kepakaran.
"Berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Presiden Syria, serta komitmen untuk meningkatkan keselamatan nasional dan menangani cabaran keselamatan dan politik dalam tempoh akan datang, Presiden memutuskan untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara di bawah kepimpinannya," menurut kandungan dekri itu.
Majlis akan bersidang secara berkala atau apabila diarahkan oleh Presiden, dengan segala keputusan berkaitan keselamatan negara dan cabaran yang dihadapi akan dibuat secara perbincangan bersama ahli majlis.
Tugas dan mekanisme operasi majlis akan ditentukan melalui arahan Presiden selaras dengan kepentingan nasional tertinggi, bagi memastikan penyelarasan yang berkesan antara pelbagai agensi dan institusi kerajaan.
Minggu lalu, wilayah pesisir Syria, Latakia dan Tartus menyaksikan serangan terancang oleh kumpulan yang setia kepada bekas rejim Bashar al-Assad.
Serangan paling sengit sejak kejatuhan rejim itu menyasarkan rondaan keselamatan dan pos kawalan, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Sejak kejatuhan rejim Assad pada Disember lalu, pihak berkuasa baharu Syria melancarkan inisiatif untuk menyelesaikan status anggota rejim terdahulu dalam sektor ketenteraan dan keselamatan, dengan syarat mereka menyerahkan senjata serta tidak terlibat dalam pertumpahan darah.
Walaupun puluhan ribu orang menerima inisiatif itu, beberapa kumpulan bersenjata yang masih setia kepada Assad menolak tawaran berkenaan, terutamanya di kawasan pesisir yang dahulunya menempatkan pegawai tinggi rejim.
Seiring waktu, kumpulan ini melarikan diri ke kawasan pergunungan, menyebabkan ketidakstabilan serta melancarkan serangan sporadik terhadap pasukan kerajaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember 2024, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
-- BERNAMA