Presiden Sudan Selatan gesa Majlis Keselamatan PBB tarik balik sekatan senjata

Bernama
September 22, 2023 11:35 MYT
Kiir berkata penarikan balik sekatan itu dapat menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Damai 2018 dan memudahkan proses pilihan raya yang dijadualkan pada Disember 2024. - Gambar fail/Reuters
JUBA (Sudan Selatan): Presiden Sudan Selatan Salva Kiir Mayardit pada Khamis menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menarik balik sekatan senjata ke atas negara itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Kiir berkata penarikan balik sekatan itu dapat menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Damai 2018 dan memudahkan proses pilihan raya yang dijadualkan pada Disember 2024.
"Kami menggesa PBB menarik balik sekatan senjata yang dikenakan ke atas kami bagi membantu pelaksanaan keamanan dan memastikan pilihan raya berjalan lancar.
"Sekatan itu menghalang pelaksanaan langkah-langkah keselamatan memandangkan penempatan berkesan Pasukan Bersatu yang kami luluskan tidak boleh berlaku tanpa senjata," katanya dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB di New York.
Kiir berkata kerajaannya sedang menyegerakan pelaksanaan perjanjian damai itu untuk menamatkan tempoh peralihan secara aman melalui pilihan raya yang adil, telus dan berwibawa.
"Kami juga berjaya melibatkan diri dalam dialog dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat awam, belia dan wanita, pemimpin tradisional dan kumpulan pembangkang dalam memastikan proses keamanan diwujud dan digerakkan oleh rakyat kita sendiri," katanya.
Majlis Keselamatan mengenakan sekatan senjata ke atas negara itu pada 2018 dan diperbaharui setiap tahun.
Pada Mei, Majlis Keselamatan PBB menerima pakai resolusi untuk melanjutkan sekatan sehingga 31 Mei 2024, selain sekatan bersasar dan larangan perjalanan serta pembekuan aset terhadap individu dan entiti tertentu.
-- BERNAMA
#Presiden Sudan Selatan #Salva Kiir Mayardit #Majlis Keselamatan PBB #sekatan senjata
;