Presiden Sri Lanka kesal insiden 'baling baju dalam' ketika konsert Enrique Iglesias
Madiha Abdullah
Disember 28, 2015 12:56 MYT
Disember 28, 2015 12:56 MYT
PRESIDEN Sri Lanka menegur rakyatnya yang disifatkan berkelakuan sangat tidak senonoh semasa menyaksikan konsert penyanyi antarabangsa Enrique Iglesias.
Bercakap dalam satu acara di sebuah sekolah di Ampara, Presiden Maithripala Sirisena berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengharamkan hiburan seumpama itu di masa hadapan.
Sirisena merujuk kepada insiden di mana peminat wanita menjadi tidak terkawal, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, membaling pakaian dalam dan berpusu-pusu naik ke pentas untuk mencium penyanyi Latin itu.
"Ia satu perlakuan tidak bermoral yang melampaui batas-batas budaya negara ini," kata Sirisena.
Beliau juga tidak menolak untuk menghukum penganjur dengan hukuman dipukul dengan stingray tails atau ekor ikan pari, yang biasa digunakan untuk menghukum pesalah jenayah berat.
Sri Lanka adalah antara negara Asia yang masih mengamalkan budaya konservatif, malah public display of affection dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin juga satu kesalahan dan boleh ditahan polis.