Presiden Sri Lanka bubar Parlimen, umum pilihan raya pada 14 Nov
Bernama
September 25, 2024 11:50 MYT
September 25, 2024 11:50 MYT
ISTANBUL: Presiden baharu Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake membubarkan Parlimen pada lewat Selasa dan mengumumkan pilihan raya umum bakal berlangsung pada 14 Nov.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa satu notis daripada pejabat presiden memaklumkan penamaan calon akan diadakan dari 4 hingga 11 Okt.
Parlimen semasa dipilih pada tahun 2020 dan pilihan raya baharu sepatutnya diadakan pada Ogos tahun depan.
Dissanayake yang juga dikenali sebagai AKD menewaskan presiden terdahulu, Ranil Wickremesinghe serta ketua pembangkang, Sajith Premadasa dalam pilihan raya yang diadakan hujung minggu lalu dan kemudian mengangkat sumpah sebagai presiden eksekutif kesembilan Sri Lanka pada Isnin.
AKD melantik tokoh intelektual awam dan akademik terkemuka, Harini Amarasuriya sebagai perdana menteri pada awal Selasa dan menubuhkan Kabinet kecil sehingga pilihan raya baharu diadakan.
AKD dijangka berucap kepada negara pada Rabu untuk memperkenalkan dasar-dasarnya.
Pilihan raya yang diadakan Sabtu lalu adalah yang pertama sejak Sri Lanka diisytiharkan muflis pada April 2022.
AKD dijangka menurunkan harga barangan dengan mengurangkan beberapa cukai tidak langsung serta merancang untuk menurunkan harga minyak dan elektrik bagi merangsang ekonomi negara.
-- BERNAMA