Presiden Sri Lanka akan lantik PM baharu minggu ini

Bernama
Mei 12, 2022 12:37 MYT
Rajapaksa berkata pindaan perlembagaan baharu yang akan memperkasakan peruntukan pindaan ke-19 akan dilaksanakan.- Gambar fail/REUTERS
COLOMBO: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada Rabu berkata beliau akan melantik perdana menteri baharu dalam minggu ini.
Dalam ucapannya di televisyen, beliau berkata individu yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen dan rakyat bakal dipilih sebagai perdana menteri baharu, lapor Xinhua.
Rajapaksa berkata pindaan perlembagaan baharu yang akan memperkasakan peruntukan pindaan ke-19 akan dilaksanakan.
Pindaan ke-19, diluluskan pada 2015 menghadkan kuasa presiden. Ia digantikan dengan pindaan ke-20 pada 2020 yang memberi presiden lebih kuasa.
Rajapaksa berkata perdana menteri baharu dan Kabinet boleh membentangkan rancangan untuk menstabilkan negara.
"Ada pihak yang meminta pemansuhan jawatan presiden eksekutif. Saya juga akan memberi ruang untuk itu selepas berbincang mengenainya dengan semua pihak berkepentingan. Negara sedang menghadapi krisis yang serius dan saya menggesa sokongan anda untuk memastikan jentera negara terus berfungsi," katanya.
Presiden juga berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang melakukan keganasan sehingga menyebabkan sembilan orang maut dan kira-kira 300 cedera.
Insiden keganasan dilaporkan pada Isnin selepas kumpulan prokerajaan bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan. Perintah berkurung di seluruh negara kemudiannya dikenakan sehingga Rabu dan tentera dikerahkan untuk memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi.
Perintah berkurung akan ditarik balik pada pagi Khamis dan dikuat kuasa semula pada 2 petang waktu tempatan pada hari sama hingga pagi Jumaat.
-- BERNAMA
#Presiden Sri Lanka #Gotabaya Rajapaksa #parlimen Sri Lanka #krisis ekonomi
;