Presiden Somalia terselamat daripada cubaan bunuh di Mogadishu
Bernama
Mac 19, 2025 10:25 MYT
Mac 19, 2025 10:25 MYT
Kerajaan Somalia sahkan letupan di Mogadishu pada Selasa merupakan cubaan bunuh terhadap Presiden Hassan Sheikh Mohamud oleh kumpulan al-Shabaab.
MOGADISHU (Somalia): Kerajaan Somalia mengesahkan letupan yang berlaku di Mogadishu pada Selasa merupakan cubaan bunuh terhadap Presiden Hassan Sheikh Mohamud oleh kumpulan al-Shabaab, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut Kementerian Penerangan Somalia, konvoi Presiden diserang pada kira-kira 10.32 pagi waktu tempatan (0732 GMT) di daerah Xamar-Jajab, Mogadishu.
Ketika kejadian, Mohamud sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mogadishu untuk menyertai pasukan tentera di barisan hadapan di negeri Hirshabelle.
"Serangan itu berjaya dipatahkan dan Presiden tiba di destinasinya dengan selamat seperti yang dirancang," menurut kenyataan kementerian itu.
Kementerian turut mengecam tindakan berkenaan yang menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam yang tidak bersalah, sambil menyifatkan serangan itu sebagai tanda keputusasaan kumpulan berkenaan selepas mengalami kekalahan berturut-turut di tangan Tentera Nasional Somalia.
Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu.
"Dengan perpaduan rakyat dan sokongan rakan antarabangsa, kami akan memastikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan untuk Somalia," menurut kementerian.
Penasihat keselamatan negara kepada Presiden, Hussien Sheikh Ali menegaskan, Presiden berada dalam keadaan selamat dan meneruskan program rasminya.
Kumpulan al-Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
-- BERNAMA
#cubaan bunuh
#Presiden Somalia
#Presiden Hassan Sheikh Mohamud
#kumpulan al-Shabaab
#letupan Mogadishu