Presiden Somalia gantung tugas perdana menteri atas dakwaan rasuah

Bernama
Disember 27, 2021 15:58 MYT
Mohamed (gambar) turut mengarahkan penggantungan tugas komander tentera lautnya yang sebelum ini menuduh perdana menteri melakukan rampasan dan penyalahgunaan tanah awam. - Gambar fail/REUTERS
MOGADISHU: Presiden Somalia Mohamed Abdullahi Mohamed pada Isnin menggantung tugas Perdana Menteri atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan tanah awam, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Dimaklumkan bahawa Perdana Menteri (Mohamed Hussein Roble) telah melantik Menteri Pertahanan baharu pada 26 Disember 2021, tanpa melengkapkan siasatan terhadap campur tangan dalam kes rasuah melibatkan tanah awam.
"Oleh itu, tugas dan kuasa Perdana Menteri digantung sementara menunggu hasil siasatan," menurut kenyataan yang dikeluarkan presiden Somalia.
Mohamed turut mengarahkan penggantungan tugas komander tentera lautnya yang sebelum ini menuduh perdana menteri melakukan rampasan dan penyalahgunaan tanah awam.
Krisis politik negara itu semakin meruncing dan pertelingkahan turut berlaku antara perdana menteri dan presiden negara itu pada Ahad.
Mohamed menuduh perdana menterinya gagal melaksanakan tugas memimpin negara melalui pilihan raya seperti diamanahkan.
Manakala, Roble mendakwa Mohamed dengan sengaja mengganggu kelancaran pilihan raya umum yang sedang berlangsung.
-- BERNAMA
#Presiden Somalia #Mohamed Abdullahi Mohamed #gantung tugas Perdana Menteri #Mohamed Hussein Roble
;