Presiden Singapura terima watikah pelantikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu

Bernama
Ogos 31, 2021 04:00 MYT
Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar (kiri) bersama Presiden Singapura, Halimah Yacob. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Presiden Singapura, Halimah Yacob pada Selasa menerima watikah pelantikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura yang baharu, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Presiden yang mengumumkan perkara itu menerusi kemas kini laman Facebook, turut menerima watikah daripada Duta Republik Estonia, Priit Turk dan Duta Kesatuan Eropah, Iwona Piorko Bermig.
"Saya mengalu-alukan kehadiran mereka di Singapura dan berharap penggal mereka akan membuahkan hasil," katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 15 Jun lalu menyampaikan watikah pelantikan Dr Azfar dan 18 duta baharu Malaysia untuk menjalankan tugas dengan misi luar negara.
Dr Azfar, 50, memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1996.
Sebelum ini beliau menjadi Ketua Pengarah Hal Ehwal Maritim di Kementerian Luar serta bekas duta ke Perancis.
-- BERNAMA
#Singapura #duta #Malaysia #Kementerian Luar #Halimah Yacob
;