Presiden Singapura: Siapa tiga calon Melayu yang tampil mahu bertanding?
Astro Awani
September 1, 2017 17:57 MYT
September 1, 2017 17:57 MYT
Rakyat Singapura akan mengundi Presiden kelapan negara itu pada 23 September, jika terdapat lebih daripada seorang calon yang layak.
Pemenang bakal menjadi presiden berbangsa Melayu kedua dalam sejarah republik itu, dan yang pertama dipilih melalui pilihan raya presiden yang dikhaskan dalam giliran kali ini untuk calon daripada komuniti Melayu.
Keputusan sama ada pilihan raya akan diadakan atau tidak akan diketahui 13 September.
Jika hanya seorang calon yang layak, maka calon berkenaan akan diumumkan sebagai Presiden pada hari tersebut.
Jabatan Pilihan Raya (ELD) memberi butiran tersebut dalam sebuah kenyataan pada Isnin (28 Ogos) lalu, dengan mengumumkan bahawa Perdana Menteri Lee Hsien Loong telahpun mengeluarkan writ pilihan raya.
Hari mengundi akan diisytiharkan sebagai cuti umum.
Penamaan calon akan diadakan di ibu pejabat Persatuan Rakyat di King George Avenue.
Setakat ini, tiga calon telah menawarkan diri; Farid Khan, seorang pengerusi firma perkhidmatan marin, 61; bekas Speaker Parlimen Halimah Yacob, 63; dan ketua eksekutif syarikat hartanah, Salleh Merican, 67.
Farid dan Salleh telah menghantar borang pencalonan minggu lalu.
Laporan Straits Times Singapura menyebut, Farid berikrar untuk mengawal simpanan negara 'dengan bijaksana', mengkaji golongan masyarakat yang perlu dibantu, dan jika dilantik, dia akan mendermakan pendapatannya sebagai presiden kepada badan kebajikan yang kekurangan dana.
"Saya bersedia untuk dicabar dalam pilihan raya. Ia satu perkara yang baik bagi Singapura," kata Farid seperti yang dipetik Stratits Times.
Halimah Yacob ialah ahli politik dengan campuran keturunan India dan Melayu. Beliau adalah salah seorang daripada anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan menjadi Speaker kesembilan Parlimen dari Januari 2013 hingga Ogos 2017.
Tampil dengan slogan kempen 'Do Good, Do Together', Halimah mahu memfokuskan tentang impian negara dan rakyat Singapura untuk menjadi lebih baik, terus bersatu dan maju bersama-sama.
Salleh Marican pula adalah Pengasas dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutih (CEO) Second Chance Properties Ltd, iaitu sebuah syarikat senaraian Bursa Saham Singapura. Syarikatnya itu adalah yang pertama dimiliki oleh Melayu dan Islam yan tersenarai di republik itu.
Selain turut berikrar, jika terpilih, mahu mendermakan gaji presidennya kepada kebajikan, beliau memperkenalkan gerakan sosial yang dinamakan 'Mind The Gap' yang bertujuan mengumpul dana dan kesedaran tentang organisasi kebajikan yang lebih kecil di Singapura.
Calon dan kelayakan
Sebelum dibenar bertanding, semua calon perlu memohon sijil kelayakan, selain sijil komuniti yang mengesahkan mereka berbangsa Melayu.
Calon yang layak juga perlu membayar deposit pilihan raya berjumlah S$43,500 menjelang tengah hari pada hari pencalonan.
Tahun ini, akan menyaksikan calon-calon memahami peranan mereka agar menjalankan kempen pilihan raya dalam kaedah yang terhormat, tertib dan bersesuaian dengan jawatan Presiden sebagai Ketua Negara serta simbol perpaduan nasional.
Semalam, Dr Tony Tan Keng Yam mengucapkan selamat tinggal selepas penggal enam tahunnya selaku ketua negara republik itu.
Majlis perpisahan Dr Tan yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Sept 2011 telah diadakan di Istana.
Berdasarkan Perlembagaan Singapura, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden J Y Pillay akan memangku jawatan itu sehingga presiden baharu dipilih.