Presiden Rusia tawar perdamaian bersyarat kepada Ukraine

Bernama
Jun 14, 2024 22:22 MYT
Putin memberi amaran bahawa situasi di medan perang boleh berubah menjadi tidak menguntungkan bagi Kyiv, dan jika ini berlaku, "syarat untuk memulakan rundingan akan berbeza." - AP
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Jumaat mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu (AA).
Bercakap dalam satu perjumpaan dengan kakitangan Kementerian Luar Rusia di Moscow, Putin menyatakan bahawa Rusia akan "segera" menghentikan operasi tempur jika Ukraine meninggalkan niatnya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menarik balik tenteranya dari empat wilayah yang dituntut oleh Rusia -- wilayah Donetsk, Luhansk, Kherson, dan Zaporizhzhia.
"Hari ini kami membuat satu lagi cadangan perdamaian yang konkrit dan nyata. Jika Kyiv dan ibu kota Barat menolaknya seperti sebelum ini, maka itu adalah urusan mereka, tanggungjawab politik dan moral mereka untuk meneruskan pertumpahan darah," katanya.
Putin memberi amaran bahawa situasi di medan perang boleh berubah menjadi tidak menguntungkan bagi Kyiv, dan jika ini berlaku, "syarat untuk memulakan rundingan akan berbeza."
Putin menekankan bahawa beliau mencadangkan untuk menamatkan konflik, bukan sekadar membekukannya.
"Sebaik sahaja Ukraine mula menarik balik tenteranya dari Donbas dan Novorossiya (di wilayah-wilayah tersebut) dan berjanji untuk tidak menyertai NATO, Persekutuan Rusia akan menghentikan tembakan dan bersedia untuk rundingan. Saya tidak fikir ia akan mengambil masa yang lama," katanya lagi .
Putin memberi isyarat bahawa beliau tidak menganggap Volodymyr Zelensky sebagai presiden sah Ukraine selepas tamat tempoh jawatannya pada 20 Mei, dan menganggap parlimen negara itu, Verkhovna Rada, sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang sah.
-- BERNAMA
#Presiden Rusia #Vladimir Putin #perdamaian #Ukraine #syarat
;