Presiden RFEF Angel Maria Villar, anak lelaki ditahan bantu siasatan kes rasuah

Bernama
Julai 18, 2017 23:12 MYT
Villar pernah dikenakan denda sebanyak US$26,000 dan diberi amaran oleh Jawatankuasa Etika FIFA pada 2015 kerana gagal memberi kerjasama dalam siasatan berkaitan proses pembidaan final Piala Dunia 2018. - Gambar hiasan
Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) Angel Maria Villar dan anak lelakinya Gorka hari ini ditahan pihak berkuasa negara itu bagi membantu siasatan kes melibatkan rasuah, lapor agensi betita Xinhua.
Menurut laporan media Sepanyol, Villar yang baharu sahaja dipilih semula sebagai presiden RFEF bagi penggal kelapan, ditahan bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen, rasuah antara individu, dan penyelewengan dana yang berkaitan dengan organisasi bagi perlawanan antarabangsa.
Selain itu, Naib Presiden Ekonomi RFER Juan Padron juga turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut laporan, pegawai penyiasat dilihat menggeledah dan mendaftar dokumen yang terdapat dalam pejabat tersebut.
Villar turut memangku jawatan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam tempoh di antara Oktober 2015 hingga September 2016 susulan penggantungan Michel Platini yang turut didakwa terlibat dalam kes rasuah.
Selain itu, Villar turut memegang jawatan Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) walaupun beliau pernah dikenakan denda sebanyak US$26,000 dan diberi amaran oleh Jawatankuasa Etika FIFA pada 2015 kerana gagal memberi kerjasama dalam siasatan berkaitan proses pembidaan final Piala Dunia 2018.
-- BERNAMA
#anak lelaki #Angel Maria Villar #bola sepak #ditahan #Gorka #Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol #Rasuah #RFEF #siasatan
;