Presiden Perancis gesa Eropah hadkan pergantungan keselamatan kepada AS
Bernama
Disember 22, 2022 15:42 MYT
Disember 22, 2022 15:42 MYT
ISTANBUL: Presiden Perancis berkata negara Eropah perlu lebih tegas dalam pakatan NATO dan mengurangkan 'pergantungan mereka kepada Amerika Syarikat (AS)', lapor Agensi Anadolu.
Bercakap kepada pemberita sekembalinya dari sidang kemuncak antarabangsa di Amman, Jordan, Emmanuel Macron berkata, beliau tidak melihat gesaannya supaya Eropah membangunkan pertahanannya sebagai alternatif kepada NATO, menurut Wall Street Journal.
Macron berkata, Eropah yang lebih kuat akan membolehkan benua itu menjadi lebih autonomi dalam pakatan tentera, bertindak "dalam NATO, bersama NATO, namun tidak bergantung kepada NATO."
"Saya tidak mahu bergantung kepada satu pakatan. Ia sesuatu yang harus saya pilih, sesuatu yang saya usahakan. Kita mesti memikirkan semula autonomi strategik kita.
"Eropah perlu mendapatkan lebih banyak autonomi dalam teknologi dan keupayaan pertahanannya, termasuk dari AS," katanya.
Beliau membuat kenyataan itu selepas pertemuan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dengan Presiden AS Joe Biden di Washington pada Rabu.
-- BERNAMA