Presiden Palestin umum lawatan ke Gaza di tengah serangan berterusan Israel

Bernama
Ogos 15, 2024 22:45 MYT
Presiden Mahmoud Abbas berucap di Parlimen Turkiye di Ankara semasa sesi khas mengenai Palestin pada Khamis. - Gambar REUTERS
ISTANBUL: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Khamis mengumumkan bahawa beliau merancang untuk melawat Semenanjung Gaza, walaupun serangan Israel yang telah membunuh lebih 40,000 orang setakat ini masih berterusan, lapor Agensi Anadolu.
"Saya mengumumkan kepada anda dan dunia bahawa saya telah memutuskan untuk pergi ke Semenanjung Gaza bersama semua pemimpin Palestin," kata Abbas kepada Parlimen Turkiye di Ankara semasa sesi khas mengenai Palestin.
Sesi itu dihadiri oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, ratusan ahli Parlimen Turkiye dan pegawai tertinggi lain.
Abbas yang biasanya berpangkalan di Tebing Barat menyeru pemimpin negara Arab, Islam dan negara sahabat serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertai lawatan yang dirancang itu bagi membantu "menghentikan serangan Israel ke atas Gaza."
Beliau juga menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memastikan akses mereka ke wilayah yang dikepung itu.
"Destinasi kami seterusnya adalah kota suci Baitulmuqaddis," tegasnya.
Sementara itu, Abbas memuji pendirian Turkiye, Presiden Erdogan dan rakyat Turkiye dalam menolak dan mengutuk "jenayah" Israel terhadap rakyat Palestin.
Presiden Palestin itu menegaskan bahawa Semenanjung Gaza, Baitulmuqaddis Timur, dan Tebing Barat adalah satu unit geografi yang membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka mengikut kesahihan antarabangsa.
Beliau menyeru agar berdiri bersama rakyat Palestin "untuk membebaskan lebih 10,000 tahanan Palestin di penjara Israel."
Abbas menekankan bahawa rakyat Palestin akan "membina semula Gaza dan menyembuhkan luka penduduk dengan sokongan negara Arab dan Islam, di bawah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya."
"Tidak mungkin ada negara Palestin tanpa Gaza," kata Abbas.
"Kepada mereka yang bercakap tentang senario Gaza selepas konflik, kami katakan, Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmuqaddis adalah satu entiti bersatu yang membentuk negara Palestin."
Israel meneruskan serangan ketenteraannya yang kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 walaupun terdapat resolusi UNSC yang mendesak gencatan senjata segera.
Serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 40,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 92,400 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #presiden Palestin #Mahmoud Abbas #lawatan ke Gaza