Presiden Palestin tiba di Moscow untuk lawatan rasmi
Bernama
Ogos 13, 2024 09:00 MYT
Ogos 13, 2024 09:00 MYT
ISTANBUL: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tiba di ibu negara Rusia, Moscow pada Isnin untuk lawatan rasmi, lapor Agensi Anadolu.
Media Rusia menyiarkan video yang menunjukkan ketibaan Abbas di Lapangan Terbang Vnukovo, Moscow dan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Bogdanov, yang juga merupakan utusan khas negara itu untuk Timur Tengah dan Afrika.
Abbas dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin pada Selasa.
"Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai situasi di Timur Tengah dalam konteks kemerosotan terkini konflik Palestin-Israel dan bencana kemanusiaan yang belum pernah berlaku di Semenanjung Gaza," menurut kenyataan Kremlin.
Lawatan ini pada asalnya dirancang pada 15 November tahun lalu tetapi ditangguhkan atas permintaan pihak Palestin disebabkan situasi di Gaza. - BERNAMA