Presiden Palestin sambut baik keputusan UNGA terima resolusi mengenai Gaza
Bernama
Oktober 28, 2023 11:30 MYT
Oktober 28, 2023 11:30 MYT
RAMALLAH: Presiden Palestin menyambut baik keputusan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menerima resolusi menyeru gencatan senjata segera, selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.
Jurucakap Presiden Nabil Abu Rudeineh menyampaikan penghargaan kepada negara-negara yang menyokong resolusi yang ditaja oleh Jordan itu.
Beliau berkata perkembangan itu mengesahkan sokongan majoriti dunia terhadap rakyat Palestin dan isu Palestin masih mendapat perhatian, lapor Agensi Berita WAFA.
Dengan menerima 120 undi menyokong resolusi itu menunjukkan dunia menolak pencerobohan terhadap wilayah Palestin dan pemindahan paksa dari tanah air mereka.
Beliau berkata dunia mesti melaksanakan resolusi itu dengan serius dan ia hanya boleh dicapai melalui perdamaian, selaras dengan resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan berdasarkan penyelesaian dua negara.
Resolusi berkenaan diluluskan pada Jumaat dan menurut laman sesawang PBB pengundian pada Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi tersebut diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.
-- BERNAMA