Presiden Palestin, Menteri Pertahanan Israel bertemu di Ramallah
Bernama
Ogos 30, 2021 12:36 MYT
Ogos 30, 2021 12:36 MYT
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz pada Ahad malam di bandar Ramallah di Tebing Barat, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai kanan Palestin.
Anggota jawatankuasa pusat parti Fatah yang dipimpin Abbas, Hussein al-Sheikh dalam satu kenyataan menyatakan Abbas bertemu dengan Gantz di Ramallah dan berbincang mengenai hubungan Israel-Palestin.
Pertemuan itu adalah yang pertama sejak 2014, sejak rundingan damai antara kedua-dua pihak terhenti.
Gantz berbincang dengan Abbas mengenai meneruskan hubungan antara kedua-dua pihak dan meningkatkan ekonomi pihak berkuasa Palestin, lapor media Israel.
Pada 20 Julai, Gantz menerusi Twitternya berkata "pembinaan kepercayaan antara Israel dan pihak berkuasa Palestin akan memberi manfaat kepada ekonomi dan keselamatan seluruh rantau"
Proses damai Palestin-Israel terhenti sejak April 2014. Rundingan damai selama sembilan bulan yang ditaja Amerika Syarikat itu tidak membuah hasil berikutan perbezaan pendapat yang ketara mengenai isu persempadanan, keamanan dan penempatan Israel.
-- BERNAMA