Presiden Palestin desak Amerika Syarikat beri tekanan kepada Israel henti serangan
Agensi
November 19, 2023 09:30 MYT
November 19, 2023 09:30 MYT
RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendesak Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden supaya campur tangan dan memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan operasi ketenteraan darat di Gaza.
Mahmoud juga menyeru Biden memainkan peranan sewajarnya untuk menghentikan malapetaka kemanusiaan yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai warga Palestin.
“Presiden Biden, saya menyeru kepada anda, dengan seluruh sifat manusiawi anda, untuk menghentikan malapetaka kemanusiaan ini dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat yang tidak bersalah.
“Sejarah tidak akan membebaskan dan melupakan sesiapa pun daripada jenayah ini,” katanya dalam satu sidang media di Ramallah.
Selain itu, beliau turut mendesak bantuan kemanusian yang mendesak dihantar dengan segera kepada warga Palestin khususnya di Gaza yang telah dikepung.
“Saya menyeru anda untuk memberikan bantuan kepada rakyat kami yang terkepung di Gaza dan perang ini mesti dihentikan segera,” tegasnya.
Pada masa sama, Mahmoud turut mempersoalkan tindakan Israel yang melakukan serangan atas alasan mempertahankan diri.
Katanya, itu bukan satu alasan mutlak dan perbuatan itu perlu ditakrifkan sebagai jenayah perang yang serius.
Memasuki hari ke-43 perang, ia menyaksikan angka kematian di Gaza melebihi 11,500 yang merangkumi lebih 5,000 kanak-kanak dan lebih 3,000 wanita serta lebih 31,000 yang cedera. - Agensi