Presiden Pakistan minta Imran terus laksana tugas hingga pengganti dilantik

Bernama
April 4, 2022 21:19 MYT
Arif Alvi (Kiri) meminta Imran Khan meneruskan tugasnya sehingga perdana menteri sementara dilantik.
NEW DELHI: Presiden Pakistan Arif Alvi meminta Imran Khan meneruskan tugasnya sehingga perdana menteri sementara dilantik, memetik kenyataan pejabat presiden pada Isnin.
Situasi politik negara itu mengalami perubahan dramatik pada Ahad selepas usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan tidak diluluskan untuk dibahas.
Timbalan Speaker Dewan Negara, Qasim Khan Suri tidak membenarkan usul undi tidak percaya pembangkang terhadap kerajaan Imran, menyifatkan ia satu konspirasi yang disokong pihak asing.
Bertindak atas nasihat perdana menteri, presiden kemudian membubarkan Kabinet bagi membolehkan pilihan raya baharu didadakan.
Parti pembangkang membantah keputusan Suri.
Shehbaz Sharif, ketua pembangkang dan abang kepada bekas perdana menteri Nawaz Sharif, menuduh Imran mendorong Pakistan "ke dalam sistem anarki".
Pakatan pembangkang menyokong Shehbaz untuk menggantikan Imran sebagai perdana menteri.
Mahkamah Tinggi Pakistan sedang meneliti perkembangan itu.
Imran meminta pihak lawan menerima keputusan pembubaran kerajaan serta mendapatkan mandat menerusi pilihan raya awal.
-- BERNAMA
#Arif Alvi #Imran Khan #Perdana Menteri #politik pakistan
;