Presiden Myanmar letak jawatan serta-merta, beri alasan 'berehat dari tugas'

Agensi
Mac 21, 2018 23:07 MYT
Htin Kyaw merupakan sekutu Suu Kyi dan salah seorang pemimpin yang setia kepada Canselor Myanmar itu. - Gambar fail
Presiden Myanmar, Htin Kyaw, telah meletak jawatan serta-merta dengan memberi alasan ‘mahu berehat dari tugas dan tanggungjawab semasa’.
Pengumuman dari pejabat presiden itu dibuat menerusi akaun rasmi Facebook pada Rabu.
Htin Kyaw merupakan sekutu pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi. Beliau dipilih menjadi Presiden oleh Suu Kyi kerana perlembagaan negara itu, yang didraf oleh kerajaan junta sebelum ini, tidak membenarkannya berada di kedudukan tertinggi tersebut.
Sebelum ini terdapat spekulasi yang menyatakan kesihatan Htin Kyaw merosot, namun dinafikan oleh pegawai rasmi.
Pejabat presiden berkata: “Berdasarkan Artikel 73(b) dalam perlembagaan, prosedur akan diambil untuk mengisi kekosongan jawatan presiden dalam tempih tujuh hari bekerja.”
Peranan yang dipikul Htin Kyaw selama ini suatu penghormatan, memandangkan Suu Kyi meletakkan dirinya sendiri sebagai Penasihat Negara.
Setakat ini tiada calon yang disebut-sebut menjadi penyandang untuk jangka masa lama.
Sementara itu, Naib Presiden Myanmar yang juga bekas jeneral, Myint Swe, akan memangku jawatan itu sehingga presiden baharu dilantik secara rasmi.
#Aung San Suu Kyi #htin kyaw #letak jawatan #Myanmar #politik myanmar #presiden myanmar
;