Presiden Mongolia harap Tun Mahathir tegakkan keadilan bagi Altantuya
Firdaus Azil
Mei 18, 2018 14:17 MYT
Mei 18, 2018 14:17 MYT
Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap agar Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Menurut satu perutusan khas bagi mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir di atas pelantikan beliau menerajui negara ini, Presiden Battulga berkata, kes yang melibatkan rakyat Mongolia itu telah mengakibatkan ketidaksenangan dari segi hubungan bilateral, dan juga rakyat dua negara ini.
“Saya amat berharap agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat memberi perhatian khusus bagi menegakkan keadilan, melaksanakan apa jua keputusan mahkamah, serta menyelesaikan tuntutan sivil oleh keluarga mendiang dengan adil dan saksama.
“Ini bagi menyemarakkan dan mengembalikan suasana mesra dari segi hubungan bilateral antara Malaysia dan Mongolia,” kata Presiden Battulga lagi, dalam perutusan yang disiarkan Agensi Berita Nasional Mongolia, Montsame.
Pada awal perutusan itu, Battulga berkata Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun telah membangun dengan pesat, dan reputasinya di peringkat serantau dan antarabangsa telah diperkukuhkan dengan hebat.
“Adalah satu penghormatan untuk mengimbas kembali lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Mongolia pada tahun 1997, di mana ia telah memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan hubungan bilateral dan peningkatkan kerjasama antara dua negara.
“Saya amat yakin Yang Amat Berhormat dapat menghulurkan bantuan dalam mengembali dan mengaktifkan hubungan mesra yang telah berlangsung secara tradisi antara Mongolia dan Malaysia, dan juga meningkatkan hubungan antara rakyat,” katanya lagi.
#Abdul Razak Baginda
#Altantuya
#bunuh
#Dr Mahathir Mohamad
#mahkamah
#Malaysia
#Mongolia
#Perdana Menteri
#polis
#presiden
#rakyat
#Shariibu Altantuya
#Tun Dr Mahathir Mohamad