Presiden Mexico tolak desas-desus penyertaan dalam BRICS

Bernama
Ogos 9, 2023 11:58 MYT
Lopez Obrador menafikan desas-desus bahawa kerajaannya sedang berusaha untuk menyertai blok ekonomi BRICS. - Gambar fail/REUTERS
BANDARAYA MEXICO: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, pada Selasa menafikan bahawa kerajaannya sedang berusaha untuk menyertai blok ekonomi yang diketuai Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, atau lebih dikenali sebagai BRICS.
"Kami tidak akan mengambil bahagian dalam blok ini, dalam perkongsian ini. Tentu saja, kami mengalu-alukan hakikat bahawa negara lain sedang berbuat demikian.
"Bagaimanapun, atas alasan ekonomi, kejiranan, dan geopolitik, kami akan terus mengukuhkan Pakatan dengan Amerika Utara dan seluruh Amerika," katanya.
Desas-desus mengenai Mexico berminat untuk menyertai blok ini timbul pada awal Mac apabila Menteri Luar Afrika Selatan, Naledi Pandor, menyatakan beberapa negara membangun telah menunjukkan minat untuk menyertai BRICS, termasuk Mexico, lapor Agensi Anadolu.
Namun, Lopez Obrador menafikan desas-desus berkenaan.
"Cadangan kami adalah untuk mengukuhkan perjanjian dengan Amerika Syarikat dan Kanada, untuk menguatkan diri, membantu satu sama lain, melengkapi satu sama lain, berkongsi pelaburan, berkongsi teknologi," katanya.
BRICS telah muncul sebagai alternatif yang sangat menjanjikan bagi negara-negara di hemisfera selatan yang ingin mengelakkan tekanan perdagangan dan ekonomi dari Barat. Ia memiliki lebih 40 peratus populasi dunia dan 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global.
Ini bukan kali pertama Lopez Obrador enggan menjejaskan pengaruh AS kepada hubungan yang lebih erat dengan seluruh Amerika Latin.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa pada Januari, beliau menolak inisiatif untuk melancarkan mata wang bersama negara-negara Amerika Latin yang dicadangkan oleh Brazil dan Argentina. Beliau berkata adalah demi kepentingan Mexico untuk mengekalkan dolar AS sebagai penanda aras mata wang.
-- BERNAMA
#presiden Mexico #BRICS #blok ekonomi #Andres Manuel Lopez Obrador
;