Presiden Mesir pertahan jawatan untuk penggal kedua

Agensi
Mac 29, 2018 06:21 MYT
Keputusan tidak rasmi pilihan raya presiden Mesir menunjukkan Abdul Fattah El-Sisi memperoleh 92 peratus undi - Foto AP
Presiden Mesir, Abdul Fattah El-Sisi dipilih semula untuk penggal kedua, berdasarkan keputusan awal pilihan raya yang dikeluarkan pada Khamis.
Media rasmi kerajaan melaporkan El-Sisi menang besar dengan mendapat lebih 92 peratus undi, berbanding pencabar tunggalnya Mossa Mustafa Moussa.
BACA: Abdel Fattah El Sisi dijangka menang mudah Pilihan Raya Presiden Mesir Mac ini
Bagaimanapun peratusan keluar mengundi kalangan 60 juta pengundi yang layak hanya sekitar 41 peratus, lebih rendah daripada yang dicatatkan pada 2014.
Ia dipercayai berpunca daripada kempen boikot pilihan raya yang dilancarkan pakatan pembangkang, selepas mereka mendakwa wujud gerakan strategik menghalang calon selain daripada El-Sisi bertanding.
Mereka yang berhasrat menjadi calon presiden dikatakan ditahan serta dipaksa berundur daripada bertanding.
BACA: Saya sanggup mati demi rakyat - Presiden Mesir
El-Sisi mengetuai kempen penyingkiran presiden pertama yang dilantik menerusi sistem demokrasi, Mohamed Morsi, pada 2013.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 2 April ini.
Sementara itu, media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir terpaksa melanjutkan tempoh pengundian, bagi menggalakkan peratusan keluar mengundi tinggi.
Ia turut mengeluarkan amaran pengundi yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka berdepan denda sekitar AS$28 (RM108).
Di beberapa kawasan, terdapat laporan pengundi ditawarkan insentif makanan dan wang tunai supaya mereka membuang undi.
Anggaran keluar mengundi sehingga pengundian ditutup secara rasmi adalah 23 ke 25 juta pengundi daripada 60 juta yang berdaftar.
#abdul fattah #el sisi #isu semasa #Mesir #pembangkang #pilihan raya presiden
;