Presiden Mesir beri amaran usah timbulkan ketegangan

Astro Awani
Disember 30, 2012 03:52 MYT
Presiden Mesir, Mohammed Morsi memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang mencetuskan kekacauan agar menghentikannya serta merta.
Bercakap di parlimen, Mohammed menegaskan, usaha kini perlu ditumpukan kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.
Dalam ucapan pertamanya di parlimen, beliau turut meminta pembangkang agar bekerja bersama kerajaan dengan fokus utama kepada pengeluaran, kerja keras dan kesungguhan.
Mohammed juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Mesir akan muflis sebaliknya menjelaskan rizab antarabangsanya kini berjumlah 15 bilion dolar.
Ia sedikit meningkat berbanding tahun sebelumnya walaupun belum mencapai rizab 2010 yang berjumlah 36 bilion dolar.
Turut diumumkan dalam ucapan kali ini ialah beberapa projek ekonomi termasuk pembangunan kawasan sekitar Terusan Suez dan Sinai.
Bagaimanapun tidak lama selepas ucapan itu dibuat, bank pusat Mesir mengumumkan rizab antarabangsanya berada pada tahap kritikal iaitu tahap minimum bagi membayar hutang antarabangsa dan menanggung kos import strategik.
Kejatuhan rizab matawang Mesir berpunca daripada kurangnya pelaburan asing dan pendapatan dari pelancongan selepas kebangkitan rakyat bagi menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak dua tahun lalu.
#ekonomi #Mesir #Mohamed Morsi #perlembagaan baru #Referendum #rizab