Presiden Mahmoud Abbas seru tindakan segera hentikan pencerobohan Israel di Gaza dan Lubnan

Bernama
Oktober 3, 2024 18:04 MYT
Mahmoud Abbas berkata, pencerobohan berterusan Israel telah memusnahkan lebih 90 peratus infrastruktur di Semenanjung Gaza, termasuk kemudahan dan prasarana sukan. - AP
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata bahawa Negara Palestin berusaha untuk menamatkan pendudukan dan menghentikan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Pencerobohan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis perlu dihentikan sepenuhnya bagi menamatkan pendudukan ke atas Negara Palestin dengan ibu negaranya di Baitulmaqdis Timur, kata Abbas.
Dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Ketiga Dialog Kerjasama Asia di Doha, Abbas berkata bahawa walaupun berdepan kesulitan yang ditimbulkan oleh pendudukan, atlet Palestin seperti rakyat mereka yang lain, terus gigih dan tabah mencapai kejayaan yang membanggakan.
Negara Palestin juga mengamalkan diplomasi sukan melalui penyertaannya dalam semua forum sukan antarabangsa.
"Sidang kemuncak ini diadakan ketika rantau ini sedang menghadapi bahaya besar akibat keengganan Israel menghentikan pendekatan keganasan dan pencerobohan.
"Rakyat Palestin, termasuk atlet kami serta rakyat Lubnan, kini menjadi mangsa pencerobohan kejam Israel, yang meragut ribuan nyawa kanak-kanak, wanita, dan warga emas," kata presiden itu.
Beliau juga berkata bahawa pencerobohan berterusan Israel telah memusnahkan lebih 90 peratus infrastruktur di Semenanjung Gaza, termasuk kemudahan dan prasarana sukan.
Abbas menekankan bahawa keamanan dan toleransi tidak boleh wujud bersama dengan pendudukan, diskriminasi kaum, pembersihan etnik, penindasan dan ketidakadilan yang menghalang rakyat Palestin daripada mencapai aspirasi mereka untuk kebebasan dan kemerdekaan.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan segera bagi menghentikan pencerobohan kejam terhadap Palestin dan Lubnan.
-- BERNAMA
#Mahmoud Abbas #Palestin #pencerobohan #Gaza #lubnan #serangan Israel
;