Presiden Lubnan lakukan lawatan luar negara pertama ke Arab Saudi
Bernama
Mac 3, 2025 04:15 MYT
Mac 3, 2025 04:15 MYT
Joseph Aoun dijadual menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman semasa lawatannya ke Arab Saudi. - Gambar AP
BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun berlepas ke Arab Saudi pada Isnin untuk lawatan ke luar negara pertamanya sejak memegang jawatan itu pada Januari tahun ini.
Menurut kenyataan Presiden yang dipetik Anadolu Ajansi (AA), Aoun dijadual menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman semasa lawatannya ke negara itu.
Selepas lawatan berkenaan, Presiden Lubnan itu akan berkunjung ke Mesir bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar Liga Arab pada Selasa untuk membincangkan perkembangan berkaitan Palestin.
Lawatan Aoun ke Arab Saudi adalah yang pertama oleh pemimpin Lubnan ke negara itu dalam tempoh lapan tahun.
Kunjungan itu adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa Lubnan untuk memulihkan hubungan dengan negara Arab serta mengukuhkan hubungan antara Beirut dan Riyadh.
Aoun, bekas ketua tentera, dipilih sebagai Presiden pada 9 Jan, sekali gus menamatkan kekosongan jawatan Presiden Lubnan selama lebih dua tahun akibat perbezaan pendapat politik.
Bulan lepas, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam membentuk kerajaan baharu - yang pertama sejak 2022 - selepas memperoleh 95 undi daripada 128 ahli parlimen. - BERNAMA