Presiden Kurdish, Massud Barzani umum letak jawatan
Bernama
Oktober 30, 2017 15:58 MYT
Oktober 30, 2017 15:58 MYT
Presiden wilayah autonomi Kurdish, Iraq, Masoud Barzani pada Ahad mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada 1 November dalam satu sidang tertutup di Parlimen, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.
"Saya enggan meneruskan jawatan sebagai presiden selepas 1 November," menurut media Rudaw Kurdistan memetik surat yang dikirim Barzani kepada sesi parlimen, diadakan di Erbil.
"Perubahan undang-undang berkaitan jawatan Presiden Kurdish atau memanjangkan tempoh perkhidmatan presiden adalah sesuatu tidak dapat diterima," kata Barzani.
Barzani menetapkan 1 Nov sebagai tarikh untuk peletakan jawatannya dan meminta parlimen mengundi pembahagian kuasa mengenai undang-undang, ketenteraan dan pentadbiran kepada pemerintah daerah, parlimen dan badan kehakiman.
Parlimen Kurdish pada awalnya menetapkan 1 November untuk pilihan raya parlimen dan presiden di wilayah berkenaan dan di kawasan yang menjadi pertikaian antara Baghdad dan Kurdish.
Bagaimanapun, pada 24 Oktober, parlimen menangguhkan pilihan raya berkenaan selama lapan bulan, selepas pasukan keselamatan Iraq menguasai wilayah Kirkuk dan kebanyakan kawasan yang menjadi perebutan.
Barzani, 71, seorang pemimpin kurdish veteran, mengambil alih jawatan presiden pada 2005.
Bagaimanapun, jawatan Barzani mencetuskan kontroversi, memandangkan tempohnya berakhir pada 19 Ogos 2015.
Beliau juga merupakan pemimpin Parti Demokratik Kurdistan sejak 1979.
-- BERNAMA