WARSAW: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad menggesa kerajaan bertindak pantas membantu mangsa yang dilanda hujan lebat baru-baru ini.

Arahan itu dibuat ketika Yoon mengadakan sidang video dengan Perdana Menteri Han Duck Soo dan menteri-menteri yang berkaitan, lapor agensi berita Yonhap memetik setiausaha kanan presiden untuk hal ehwal akhbar Kim Eun Hye.

"Sokongan untuk kerosakan yang disebabkan oleh bencana itu harus diberikan dengan pantas," kata Yoon pada mesyuarat itu, menurut Kim.

Yoon turut mengucapkan takziah kepada mangsa banjir dan mereka yang kehilangan orang tersayang.

Pertemuan itu diadakan ketika Yoon dalam perjalanan ke Warsaw selepas membuat lawatan mengejut ke Ukraine, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy.

Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat telah mengorbankan 35 orang di Korea Selatan manakala lebih 10 orang hilang dan beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

-- BERNAMA