Presiden Korea Selatan mohon maaf isytihar undang-undang tentera

Astro Awani
Disember 7, 2024 10:50 MYT
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, memohon maaf atas usaha mengisytihar undang-undang tentera pada minggu ini. - Foto REUTERS
SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, memohon maaf atas usaha mengisytihar undang-undang tentera pada minggu ini.
Sambil memohon maaf, Yoon tunduk ketika menyampaikan permohonan maaf secara terbuka yang disiarkan di saluran televisyen tempatan beberapa jam sebelum rancangan undian pemecatan beliau dilakukan.
"Saya sangat menyesal dan ingin memohon maaf kepada orang yang terkejut. Mengenai pengisytiharan undang-undang tentera, saya tidak akan mengelakkan sebarang tanggungjawab undang-undang atau politik," katanya.
Permohonan maaf tersebut adalah penampilan pertama pemimpin itu selepas beliau membatalkan perintah undang-undang tentera pada awal Rabu, enam jam selepas ia diisytiharkan serta selepas Parlimen menentang sekatan tentera dan polis untuk mengundi menentang dekri itu.
Dalam masa sama, pemimpin parti pemerintah Korea Selatan, Han Dong-hoon, berkata selepas ucapan Yoon, presiden itu tidak lagi dalam kedudukan untuk menjalankan tugas awam dan peletakan jawatannya kini tidak dapat dielakkan.
Pada Jumaat, Han berkata Yoon merupakan satu ancaman kepada negara dan perlu disingkirkan dari kuasa termasuk meningkatkan tekanan ke atas Yoon untuk meletak jawatan walaupun ahli People Power Party (PPP) kemudian menentang secara rasmi terhadap pemecatannya.
Namun begitu, Ahli-Ahli Parlimen akan mengundi usul parti pembangkang utama, Parti Demokratik untuk memecat Yoon pada Sabtu.
Terdahulu, kedudukan sokongan terhadap Yoon menjunam ke paras terendah iaitu 13 peratus, menurut tinjauan tinjauan terbaharu Gallup Korea.
#Korea Selatan #pembangkang #Yoon Suk Yeol #undang-undang tentera
;