Presiden Korea Selatan label tindakan kapten feri 'sama seperti membunuh'

T K Letchumy Tamboo
April 21, 2014 16:24 MYT
Presiden Korea Selatan melabelkan tindakan kapten dan kru feri yang karam yang mengarahkan supaya penumpang tidak berganjak selama lebih 40 minit, sebagai ‘sama seperti pembunuhan’ dan tidak boleh diterima sama sekali.
Menurut laporan AFP, Park Geun Hye berkata demikian semasa berjumpa dengan sanak-saudara ratusan penumpang di dalam feri tersebut.
“Bukan sahaja saya, tetapi semua rakyat Korea Selatan telah patah hati, terkejut dan marah,” kata Park Geun Hye.
Sementara itu, pendakwa raya Korea Selatan telah menahan empat lagi anak kapal feri Korea Selatan yang karam di perairan Korea Selatan pada Rabu lepas.
Sebuah laporan AFP berkata empat anak kapal itu termasuklah tiga pegawai dan seorang jurutera.
Sebelum ini, kapten feri tersebut Lee Joon-Seok Lee, yang ditahan bersama dua pegawai lain dan telah didakwa kerana kecuaian dan gagal untuk menjamin keselamatan penumpang menurut undang-undang maritim.
Seorang peguam memberitahu AFP, bahawa empat anak kapal yang baru ditahan mungkin menghadapi pertuduhan yang sama.
Feri Sewol yang membawa 476 orang karam selepas berlepas dari pelabuhan Incheon ketika menuju ke pulau peranginan Jeju.
#feri #Korea Selatan #Lee Joon-Seok
;