Presiden Korea Selatan bincang hubungan Korea Utara-Rusia di sidang kemuncak NATO

Bernama
Julai 8, 2024 23:32 MYT
Sebelum sidang kemuncak, Yoon akan singgah di Hawaii pada Isnin dan Selasa untuk taklimat keselamatan di Komando Indo-Pasifik AS dan pertemuan dengan penduduk Korea Selatan di pulau itu. - Gambar fail/AP
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol akan melawat Amerika Syarikat (AS) pada Isnin untuk menghadiri sidang kemuncak NATO di Washington, di mana beliau akan membincangkan kebimbangan mengenai kerjasama pertahanan yang semakin erat antara Korea Utara dan Rusia.
Yoon akan berada di Washington pada Rabu dan Khamis untuk bertemu dengan pemimpin NATO bagi membincangkan konflik yang sedang berlaku di Ukraine dan meningkatkan kerjasama antara pakatan keselamatan transatlantik dan rantau Indo-Pasifik.
Korea Selatan telah dijemput ke sidang kemuncak NATO untuk tahun ketiga berturut-turut sebagai satu daripada empat rakan kongsi Indo-Pasifik dikenali sebagai IP4 yang termasuk Jepun, Australia dan New Zealand.
"Kami akan menghantar mesej yang kuat mengenai kerjasama ketenteraan antara Rusia dan Korea Utara dan membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama antara sekutu NATO dan IP4," kata Timbalan Ketua Penasihat Keselamatan Korea Selatan Kim Tae Hyo pada Jumaat.
Korea Selatan sebelum ini mempertimbangkan kemungkinan untuk menghantar senjata ke Ukraine sebagai tindak balas kepada perjanjian pertahanan bersama yang ditandatangani oleh Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan lepas.
Sebelum sidang kemuncak, Yoon akan singgah di Hawaii pada Isnin dan Selasa untuk taklimat keselamatan di Komando Indo-Pasifik AS dan pertemuan dengan penduduk Korea Selatan di pulau itu.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #NATO #sidang kemuncak #Ukraine #Korea Selatan
;