Presiden Korea Selatan adakan lawatan negara ke AS
Bernama
April 24, 2023 16:01 MYT
April 24, 2023 16:01 MYT
SEOUL:
Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dijadualkan berlepas ke Washington pada Isnin untuk mengadakan lawatan negara selama enam hari, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lawatan bertemakan "alliance in action, toward the future" itu antara lain akan menumpukan kepada agenda untuk mengukuhkan tindak balas sekutu terhadap ancaman nuklear Korea Utara dan cabaran-cabaran lain serta menandakan ulang tahun ke-70 perikatan itu.
Kenyataan bersama mengenai komitmen Amerika Syarikat (AS) untuk menggerakkan rangkaian keupayaan ketenteraan sepenuhnya termasuk nuklear bagi mempertahankan sekutunya, dijangka menjadi agenda utama sidang kemuncak antara Yoon dengan Presiden Joe Biden di Rumah Putih pada Rabu.
"Kami menjangkakan pakatan strategik komprehensif global akan diperluaskan lagi pada rundingan akan datang, berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang telah dibina oleh para pemimpin sehingga kini," katan Timbalan Ketua Penasihat Keselamatan Korea Selatan Kim Tae-hyo kepada pemberita pada minggu lalu.
Sidang kemuncak itu menandakan pertemuan keenam antara Yoon dan Biden.
Lawatan itu turut akan menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan kerjasama ekonomi seperti dalam bidang seperti semikonduktor dan bateri termasuk mengenai konsesi dalam pelaksanaan Akta Pengurangan Inflasi AS dan Akta Cip dan Sains.
Yoon akan diiringi oleh delegasi perniagaan seramai 122 orang yang terdiri daripada ketua konglomerat termasuk Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics Lee Jae-yong, Pengerusi Kumpulan SK Chey Tae-won dan Pengerusi Kumpulan Hyundai Motor Euisun Chung.
Sempena lawatan itu, Yoon akan menghadiri sesi meja bulat yang melibatkan kira-kira 30 CEO syarikat utama dari kedua-dua negara termasuk Samsung, SK, Hyundai, Qualcomm, Lam Research dan Boeing.
Presiden Korea Selatan itu juga dijadual melawat Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA dan mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama angkasa lepas antara kedua-dua negara dan bertemu dengan saintis Korea yang bekerja untuk NASA.
-- BERNAMA