Presiden Jokowi mulakan lawatan pertama ke Afrika

Bernama
Ogos 20, 2023 20:35 MYT
Presiden Joko Widodo (Jokowi) sedang menuju ke Afrika untuk mengadakan lawatan kerja ke empat negara di rantau itu, menjadi lawatan pertamanya ke benua itu sebagai presiden. - Gambar fail/Youtube/Sekretariat Presiden
JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) sedang menuju ke Afrika untuk mengadakan lawatan kerja ke empat negara di rantau itu, menjadi lawatan pertamanya ke benua itu sebagai presiden, lapor Agensi Berita ANTARA.
Ketua negara itu mengumumkan agendanya semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara pada Ahad.
"Hari ini, bersama delegasi terhad, saya akan berlepas ke Afrika untuk melawat Kenya, Tanzania, Mozambique dan Afrika Selatan. Ini akan menjadi lawatan presiden pertama saya ke rantau Afrika," katanya yang disiarkan oleh saluran YouTube Sekretariat Presiden pada Ahad.
Presiden Jokowi berkata lawatannya ke Afrika didorong oleh kenyataan bahawa Indonesia memiliki hubungan sejarah yang panjang dengan benua tersebut, memandangkan negara itu adalah pelopor dan tuan rumah untuk Persidangan Asia-Afrika yang berlangsung di Bandung, Jawa Barat, pada tahun 1955.
Beliau mengulangi kenyataan bahawa persidangan antarabangsa itu memainkan peranan penting dalam pembentukan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di tengah-tengah ketegangan semasa Perang Dingin.
Jokowi kemudian menjelaskan bahawa lawatannya ke Kenya dan Tanzania merupakan susulan kepada keputusan untuk menubuhkan kedutaan oleh kedua-dua negara itu di Jakarta tahun lepas.
Selain itu beliau berkata Mozambique adalah negara Afrika pertama, yang mana Indonesia telah menandatangani Perjanjian Keutamaan Perdagangan (PTA).
Selepas melakukan lawatan ke empat negara, presiden dijadualkan menyertai acara sidang kemuncak BRICS, sebuah pakatan yang terdiri daripada negara membangun: Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Beliau juga akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara di luar Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 22-24 Ogos.
Presiden dan delegasinya akan pulang ke Indonesia pada 25 Ogos.
--BERNAMA-ANTARA
#Jokowi #Presiden Indonesia #Joko Widodo #lawatan ke Afrika
;